...because a picture worth more than a thousand words...
Up | Down | Top | Bottom

Thursday, July 12, 2007

Fakta baru yg menarik...erm...

adaptasi berita harian 12 july2007

Lelaki tak berkahwin lebih ramai berbanding wanita


Laporan bancian penduduk menunjukkan kadar kesuburan terutama bangsa Melayu menurun sejak 15 tahun lalu

BEBERAPA tahun lalu, masyarakat heboh memperkatakan mengenai satu kajian yang kononnya menunjukkan jumlah wanita tidak berkahwin melebihi jumlah lelaki. Sejak itu, isu mengenai wanita bujang itu hangat diperkatakan sama ada di kedai kopi mahupun ahli politik dan tidak kurang juga yang menjadikannya bahan jenaka.

Hakikatnya jumlah lelaki bujang terlajak yang belum mendirikan rumah tangga pada usia 30 hingga 44 tahun didapati lebih ramai berbanding wanita bujang pada lingkungan usia berkenaan di negara ini.

Berdasarkan laporan Bancian Kependudukan dan Perumahan 2000, mendapati bilangan lelaki dan wanita yang memilih untuk tidak berkahwin semakin meningkat sejak 1991 hingga 2000.

Perunding Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dr Abdul Majid Mat Salleh, berkata jumlah keseluruhan lelaki yang tidak pernah berkahwin pada 1991 adalah 39.2 peratus dan 39 peratus pada 2000.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding wanita yang tidak pernah berkahwin iaitu 30 peratus pada 1991 dan 30.9 peratus pada 2000.

“Lelaki dan wanita di negara ini semakin memilih untuk tidak berkahwin atau melambatkan perkahwinan. Jika diteliti, kebanyakan lelaki memilih usia agak lewat untuk mendirikan rumah tangga iaitu pada usia 29 hingga 30 tahun. Ini berbeza dengan wanita yang lazimnya menamatkan zaman bujang lebih awal iaitu pada usia 25 hingga 26 tahun,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kependudukan di Malaysia: 50 Tahun Perubahan.

Ceramah beliau adalah sebahagian daripada pembentangan yang dibuat pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007: Jendela Demografik Bagi Pembangunan; Peluang dan Cabaran baru-baru ini di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Persidangan selama tiga hari itu yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Beliau berkata, faktor pendidikan yang semakin tinggi di kalangan lelaki dan wanita hari ini membuatkan mereka lebih mementingkan kerjaya selain ingin mengukuhkan ekonomi masing-masing sebelum membuat keputusan mencari pasangan hidup.

“Pada 1991, 20.4 peratus lelaki berusia 30 hingga 34 tahun belum pernah berkahwin. Jumlah ini meningkat kepada 24.7 peratus pada 2000. Jumlah ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita yang belum pernah berkahwin.

“Pada 1991, hanya 12.4 peratus wanita berusia 30 hingga 34 tahun belum pernah berkahwin. Jumlah ini hanya meningkat kepada 12.7 peratus pada 2000. Wanita bujang berusia 35 hingga 39 tahun jauh lebih rendah berbanding lelaki iaitu 7.8 peratus pada 1991 dan 2000,” katanya.

Jumlah lelaki dan wanita bujang yang memilih untuk tidak berkahwin turut memberikan kesan kepada kadar kelahiran di negara ini. Berdasarkan graf Kadar Kesuburan mengikut Kumpulan Etnik di Semenanjung Malaysia: 1957 hingga 2000, kadar kesuburan semakin menurun sejak 15 tahun merdeka.

“Peningkatan lelaki dan wanita tidak berkahwin turut memberikan kesan kepada kadar kelahiran yang semakin menurun. Jumlah kelahiran terus menurun pada 36.1 pada 1965 sehingga 30.6 pada 1980.

“Bagaimanapun ia meningkat kepada 31.5 pada 1985, tetapi terus menurun sehingga 18.3 pada 2005. Ini disebabkan semakin ramai penduduk Malaysia berkahwin lewat atau memilih untuk tidak berkahwin,” katanya.

Walaupun selepas merdeka, kaum Cina dan India lebih ramai melahirkan anak berbanding Melayu, tetapi kadar kesuburan dua kaum itu semakin menurun dari tahun ke tahun. Bermula 1972, Melayu didapati lebih ramai melahirkan anak iaitu lima anak bagi setiap keluarga berbanding 4.3 bagi Cina dan 4.4 bagi India. Sehingga 2000, kadar kelahiran terus menurun di kalangan Melayu (3.5), Cina (2.5) dan India (2.4).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home